MASS

Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia (MASS) ditubuhkan pada awal tahun 1991 dan kini mempunyai lebih dari 352 orang ahli. MASS telah berjaya menunjukkan kemampuan dan kematangannya dengan menganjurkan berbagai aktiviti keilmuan yang bukan saja memberi manafaat kepada ahli-ahli tetapi juga dapat menyebarkan ilmu bidang sains dan teknologi kepada anggota masyarakat yang lain.

Sumbangan serupa ini adalah amat bermakna bagi negara kita yang beraspirasi menjadi sebuah negara industri pada tahun 2020. Hari ini, kemajuan dalam sains dan teknologi semakin banyak memerlukan sumbangan daripada berbagai disiplin ilmu pengetahuan. Misalnya orang awam mungkin tidak menyedari bahawa televisyen yang mereka tontoni setiap hari telah dihasilkan melalui sumbangan jurutera elektronik, jurutera elektrik, ahli fizik, ahli kimia dan ahli sains bahan. Demikian juga dengan dengan berbagai peralatan canggih yang digunakan oleh manusia dewasa ini.

Tindakan bijak mengwujudkan suatu persatuan multi disiplin yang dianggotai oleh ahli kimia, fizik, sains bahan dan jurutera amat disanjung tinggi. Tentunya ahli-ahli MASS berhasrat untuk berkongsi maklumat dan kepakaran dan seterusnya jika proses ini tumbuh dengan subur, ahli-ahli MASS berpotensi untuk menghasilkan atau menelurkan hasil-hasil yang dapat mengkagumkan masyarakat kita dan antarabangsa. Sama-samalah kita berdoa semoga persatuan kita terus tumbuh dengan gemilang dan berfungsi dengan cemerlang selaras dengan aspirasi Wawasan 2020.